Hepatitis C - Virus Darah Tercemar


Mungkin ramai yang tidak mengambil tahu tentang penyakit ini. Kebetulan jangkitan penyakit ini memang sukar dikesan oleh pesakit sendiri kerana ia selalu menyerang tanpa membawa simptom, atau membawa simptom yang tidak menonjol serta tidak berpanjangan. Hakikatnya, Hepatitis C merupakan salah satu pembunuh senyap kerana ramai pesakit tidak mengetahui diri mereka dijangkiti sehingga bertahun-bertahun malahan berpuluh tahun lamanya.

Apa yang menyedihkan, kebanyakan kes Hepatitis C hanya diketahui selepas umur 40 tahun walaupun ramai pesakit tersebut dipercayai telah menghidap virus berkenaan jauh lebih awal. Tidak kurang yang hanya menyedari tubuh mereka menjadi habitat virus selepas tahap kesihatan bertambah teruk akibat kegagalan hati atau pertumbuhan kanser hati.

Walaupun ujian darah mampu mengesan kehadiran Virus Hepatitis C (HCV) dengan mudah, namun kebanyakan orang terutamanya daripada kumpulan berisiko tinggi enggan berbuat demikian seakan-akan tidak mahu berdepan dengan perbuatan lampau mereka. HCV yang lazimnya menjejaskan hati, boleh menyebabkan kedua-dua keradangan hati akut dan kronik. Julat spektrum penyakit ini adalah daripada jangkitan asimtomatik, penyakit akut ringan, hinggalah kepada komplikasi hati serius. Hepatitis C ialah virus yang dijangkiti menerusi darah yang tercemar. Gejala jangkitan akut termasuk demam, lesu, hilang selera makan, loya, najis berwarna kelabu, sakit sendi dan demam kuning.

Lebih 451,000 rakyat Malaysia menghidap HVC manakala di seluruh dunia lebih tiga hingga empat juta orang dijangkiti setiap tahun. Sebanyak 80 peratus daripada mereka yang dijangkiti Hepatitis C kronik tidak mengalami sebarang gejala sedangkan kerosakan kepada hati berlaku tanpa disedari. Komplikasi hati yang serius boleh mengambil masa sehingga 30 tahun untuk terbentuk.

“HCV sering dikenali sebagai pembunuh senyap kerana mereka yang menghidap penyakit ini boleh hidup bertahun-tahun tanpa menyedari mereka mengalami penyakit itu. Pada masa sama, kerosakan hati mula berlaku dan semakin lama semakin teruk,” jelas Perunding Perubatan Gastroenterologi, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.

Tambah Dr. Muhammad Radzi, sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, HCV boleh merebak dan berkembang menjadi sirosis hati, kegagalan hati atau kanser. Fungsi hati akan mula terjejas sebaik sirosis merebak, mengakibatkan pengumpulan bahan toksin yang lazimnya disingkirkan oleh sel hati yang sihat. Hakikatnya, tiada vaksin yang dapat mencegah HCV namun rawatan terkini mampu menyembuhkan penyakit ini. Jangka masa rawatan sedia ada bergantung kepada jenis (genotaip) jangkitan Hepatitis C.

Terdapat enam jenis genotaip utama yang dikenal pasti dan ia berbeza mengikut kelaziman di seluruh dunia. Genotaip 1 ialah genotaip yang paling lazim di seluruh dunia dan genotaip kedua paling lazim ditemui di Malaysia selepas Genotaip 3 dan 4. Genotaip 1 mempunyai kadar penyembuhan paling rendah dengan rawatan yang sedia ada pada masa ini.

Pendekatan

Kini terdapat kempen yang menggabungkan beberapa pakar untuk merawat dan mencegah penyakit ini yang dikenali sebagai ‘My Commitment to Cure Hepatitis C’. Gabungan merawat penyakit hepatitis C yang pertama seumpamanya di Malaysia dilancarkan bertujuan menawarkan pendekatan bersepadu untuk menangani hepatitis C di Malaysia.

Program ini merupakan gabungan antara beberapa orang pakar yang mendapat inpirasi dan berdedikasi untuk menyuara dan menggerakkan pelan komprehensif dalam meningkatkan kesedaran, pengesanan dan penjagaan pesakit yang hidup dengan hepatitis C.

Kerjasama ini akan meningkatkan kesedaran terhadap penyakit hepatitis C dan memperkenalkan hala tuju untuk maklum balas HCV di Malaysia. Kempen ini juga memberi tumpuan kepada bebanan HCV di Malaysia dan menekankan betapa pentingnya pengesanan awal, pencegahan dan penjagaan. Pelbagai aktiviti akan dijalankan seperti pemeriksaan percuma hepatitis C kepada mereka yang berisiko tinggi, kempen ikrar dan sebagainya.

Menurut pengerusi kempen ini, Profesor Dr. Rosmawati Mohamed, sebagai sebuah gabungan, mereka komited dan bermotivasi tinggi untuk menjalin kerjasama demi menghasilkan impak lebih berkesan ke atas hepatitis C.

“Pembabitan pertama kami bersama orang awam ialah menerusi program jelajah iaitu kami mensasarkan untuk mendidik orang ramai mengenai penyakit ini khususnya mereka yang berisiko menghidap hepatitis C,”ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/hepatitis-c-virus-darah-tercemar-1.97612#sthash.psRCJKqm.dpuf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...